Tuesday 12 January 2016

Projek Signifikir | Sembang Kencang


Ipoh, 10 Januari – Sekolah Demokrasi Zon Utara dengan kerjasama Prospect telah menganjurkan Projek Signifikir, iaitu satu projek bersiri yang memberi penekanan kepada 34 kelas dan diskusi sepanjang tahun. Projek ini dibahagikan kepada lima aktiviti iaitu Kelas Kajian Polisi dan Dasar, Sembang Kencang, Debat Showdown, Bedah Filem dan Bedah Buku.


Untuk pertama kalinya projek ini dianjurkan, penganjur mengetengahkan aktiviti Sembang Kencang, (mendapat inspirasi daripada Bring Your Own Thought Society (BYOT Society) daripada Kuala Lumpur). Aktiviti yang berlangsung di KOMRAD CAFÉ menampilkan tiga orang speaker yang tidak asing lagi iaitu Saudara Howard Lee, Cikgu Mohd Rashidi dan Azeem Lenin.

Saudara Howard Lee telah pun berkongsi cerita pahit manis beliau sepanjang berada di United Kingdom iaitu selama 16 tahun, melalui tiga faktor penting untuk mendemokrasikan negara, iaitu pendemokrasian ekonomi, pendemokrasian sosial dan pendemokrasian politik. Penghormatan yang berlangsung antara kelas ekonomi di dalam restoran sangat menyentak pemikiran pendengar, di mana gaji seorang yang menjadi tukang masak berjawatan pertengahan adalah sama dengan tukang sapu. Lebih lagi, gaji seorang ketua tukang masak dan pengurus restoran taraf sederhana adalah lebih kurang sama dengan gaji seorang doktor perubatan yang berkerja di hospital awam. Jurang ekonomi di antara rakyat bukan sahaja dirapatkan, ia telah mewujudkan penghormatan sosial yang kekal dan menghakis sistem kelas sosial.


“Dengan latar belakang suasana sosio-politik yang semakin tidak stabil dan keadaan ekonomi yang semakin mengancam, perkauman dan agama dinamakan oleh pihak-pihak berkepentingan sebagai punca polarisasi demi pengekalan kuasa. Haruslah kita sedar bahawa masalah pokok kita di tanah air pada hari ini, adalah kekurangan kefahaman diantara kaum, justeru kekurangan hormat antara satu sama lain; dengan itu, memberi kesan kepada masalah induk yang ditimpa oleh kesemua rakyat tanpa mengira kaum dan agama, iaitu masalah ekonomi, dieksternalisasikan sebagai masalah perkauman dan agama,” ulas beliau apabila ditanya tentang pemilihan tajuk beliau.

Untuk aktiviti yang seterusnya, pada 31 Januari, Projek Signifikir akan menampilkan aktiviti DEBAT SHOWDOWN dan pada 3 Febuari pula satu lagi projek SEMBANG KENCANG bersama Prof. Nazari Ismail daripada BDS Malaysia (Boycott, Divest, Sanction).