Monday 5 December 2016

Digelar ‘wira’, Adun Pasir Pinji ucap terima kasih kepada Timbalan Canselor Jerman


IPOH, 7 DIS: Presiden 
International Union of Socialist Youth (IUSY), Howard Lee digelar sebagai ‘wira’ oleh Timbalan Canselor Jerman, Sigmar Gabriel ekoran penahanan Adun Pasir Pinji itu semasa perhimpunan aman BERSIH 5 pada 19 November lepas.
Howard yang ditahan reman oleh polis atas ‘dakwaan liar dan tidak berasas’ itu mendapat pengiktirafan berkenaan secara sebulat suara dalam mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Perikatan Progresif yang disertai Gabriel pada Khamis lepas.
“Saya ucapkan terima kasih yang tidak terhingga untuk semangat setiakawan yang ditunjukkan, termasuk gelaran ‘hero’ itu.
“Meski saya berasa malu mengenangkan bagaimana negara kita kebelakangan ini terkenal sebagai bahan ketawa dunia di bawah pemerintahan (Perdana Menteri) (Datuk Seri) Najib Razak,” ujar Howard dalam satu kenyataan, semalam.
Gabriel yang juga Ketua Umum Parti Demokrat Sosial Jerman (SPD) dalam kenyataan yang sama turut membidas dasar kerajaan Malaysia yang disifatkan sebagai menindas berikutan penahanan berkenaan.
“Kami juga telah menyaksikan dasar yang menindas di Malaysia, di mana rakan seperjuangan kita (Howard) telah dipenjarakan.
“Walaupun hanya dua hari sahaja, tetapi ia tetap melampaui batas, hanya kerana beliau menyertai demonstrasi demi menegakkan kebebasan dan hak asasi manusia.