Monday 5 September 2016

DAP rep Howard Lee quizzed on organisation of TangkapMO1 rally


Polis terus memperhebatkan siasatan ke atas himpunan ‘Tangkap Malaysian Official 1' yang diadakan di Kuala Lumpur pada 27 Ogos lalu dengan menyoal-siasat ADUN Pasir Pinji, Howard Lee hari ini.
"Soalan-soalan lebih menjurus kepada penganjuran himpunan tersebut. Tetapi bagi Lee, beliau tidak mempunyai pengetahuan kerana dirinya bukan penganjur," kata peguam DAP, Ramkarpal Singh.
Lee disiasat mengikut Seksyen 9 Akta Perhimpunan Aman dan Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan kerana, antara lain, mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan ketakutan kepada orang awam.
Pertuduhan itu membawa hukuman penjara dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
"Kami difahamkan daripada pegawai penyiasat bahawa terdapat kemungkinan saya akan didakwa mengikut Seksyen 505 (b), tetapi ini belum dilakukan lagi," kata Lee.

Lee mempertahankan ucapannya semasa perhimpunan itu yang menggesa pihak berkuasa untuk menangkap MO1, yang didakwanya adalah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
"Ini adalah hak anak-anak muda untuk mempunyai ruang untuk berkata apa sahaja yang mereka mahu.
“Saya fikir adalah penting kebebasan bersuara ditegakkan untuk semua anak muda dan untuk semua rakyat Malaysia," katanya.
Minggu lalu, ahli parlimen DAP, Teo Kok Seong, Ketua Pemuda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad dan tujuh pelajar ditangkap dan disiasat di bawah seksyen yang sama.
Pada perhimpunan itu, kira-kira 1,500 penunjuk perasaan berkumpul, mendesak tindakan diambil ke atas MO1, yang disebut di dalam tuntutan mahkamah Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat berhubung penyelewengan dana 1MDB.