Monday 14 November 2016

Insiden Hidung Berdarah: Yang Lain Tumbuk, Yang Lain Kena Tuduh


Kenyataan Dato’ Seri Jamal Yunos yang menyalahkan seorang peserta yang berbaju T Bersih di atas kecederaan yang menimpanya merupakan satu fitnah dan pembohongan kepada rakyat Malaysia atas dasar meraih simpati. Politik kotor ini diamalkan dengan tujuan menghasut masyarakat supaya membentuk tanggapan negatif terhadap perhimpunan aman BERSIH yang jelas dianjurkan mengikut tatacara yang dibenarkan oleh pihak berkuasa.
Semalam, Jamal Yunos selaku Ketua Bahagian UMNO Sungai Besar, merangkap ketua umum kumpulan samseng Baju Merah telah dilaporkan tercedera di bahagian hidung sehingga menyebabkan pendarahan berlaku.
Dalam rakaman video yang diulang tayang secara perlahan, beliau secara jelas telah diserang oleh seorang lelaki yang berbaju seragam PDRM. Tuduhan beliau yang menyalahkan seorang peserta berbaju kuning nyatanya suatu penipuan yang berniat mencabar kredibiliti pihak penganjur perhimpunan aman ini.


Publisiti murahan seperti ini hanya berniat untuk melaga-lagakan rakyat Malaysia dan juga bertujuan mewujudkan kacau bilau yang benar-benar berpotensi menjurus kepada kekacauan dan ketidaktenteraman. Pembohongan seperti ini tidak boleh diterima langsung kerana beliau cuba untuk memanipulasi fakta yang kita sedar tidak boleh dinafikan.
Kami juga mengecam tindakan ketua samseng ini yang telah membuat laporan polis palsu terhadap seseorang yang kita tahu tidak wujud di dalam rakaman tersebut.
Walaubagaimanapun, sebagai pendokong kebebasan hak untuk berhimpun serta penegak hak membantah, kami juga merasakan bahawa sebarang tindakan dan perlakuan kasar oleh mana-mana anggota polis ke atas orang yang berhimpun ialah tidak wajar. Kita terpaksa akui bahawa telatah dan sikap Jamal Yunos, seorang samseng besar dari Sungai Besar, memang sengaja mengundang kekacauan dan porak peranda, namun ia tidak bermakna sebarang tindakan yang kasar kepada beliau boleh dibiarkan begitu sahaja.
Dengan ini, kami menggesa kepada pihak yang bertanggungjawab untuk menjalankan siasatan yang intensif terhadap tuduhan liar yang dilemparkan oleh Jamal Yunos. Tindakan yang sewajarnya harus diambil.