Sunday 4 August 2013

* Puasa Ramadhan

IPOH, 3 OGOS: Perbezaan agama, cara hidup dan budaya bukan penghalang kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Pasir Pinji, Howard Lee Chuan How untuk bersama masyarakat Islam menikmati ibadah berpuasa malah Ramadhan dianggap bulan yang sesuai untuk mereka memahami dan mendekati satu daripada ajaran Islam.

Menurutnya, hanya dengan mengalami sendiri agama dan budaya yang berbeza seperti berpuasa, mereka akan lebih memahami konsep dan praktik amalan itu sekaligus merayakan kepelbagaian agama dan budaya yang ada di negara ini.

Howard Lee yang juga Setiausaha Pemuda DAP Perak berkata, melalui kefahaman yang terbentuk, masyarakat akan mampu menjalinkan hubungan silaturrahim dan kemanusiaan yang lebih erat.

“Hanya dengan perhubungan yang lebih erat, kita dapat mewujudkan masyarakat yang aman, makmur, damai dan saling berkasih sayang,” ujar beliau yang menyertai ‘Program Anak Angkat Sehari’ Pemuda DAP Perak baru-baru ini.


Berkongsi pengalaman berpuasa, Howard Lee berkata, selain melalui detik lapar dan dahaga serta menikmati hidangan lauk pauk yang enak ketika berbuka dan bersahur, keluarga angkat beliau iaitu Pakcik Daud Ismail dan isterinya, Hajah Yammy Samat turut berkongsi pandangan mengenai budaya Melayu dan ajaran Islam.

“Saya bersyukur dan ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Pakcik Daud dan Makcik Yammy sekeluarga kerana sudi menerima saya sebagai anak angkat mereka. walaupun sehari, pengalaman yang saya terima cukup bermakna,” ujarnya.

Mengulas mengenai program anak angkat itu, beliau berkata, usaha DAP itu mencerminkan hasrat besar parti dalam memupuk dan membina landasan bagi rakyat berbilang kaum di negara ini.

“Walaupun Malaysia sudah lama merdeka, sentimen perkauman dan agama terus mainkan kerana kegagalan kerajaan untuk melihat kerangka Malaysia daripada sudut yang positif.

“Kemajmukan dan perbezaan itu sepatutnya diraikan, bukannya menjadikan kita berpecah-belah kerana hakikatnya, kita bukan berhadapan dengan masalah kaum tetapi kemelut pentadbiran yang korup, pertentangan kelas dan kegilaan pemimpin untuk terus berkuasa. Maka, jalan mudah mereka adalah mencipta kebencian,” jelas beliau yang sedih dengan pelbagai polemik perkauman yang sedang berlaku dalam negara ini.

Ditanya lanjut mengenai hasrat kerajaan memupuk integrasi nasional yang lebih kukuh dan bukan bersifat kosmetik semata-mata, ADUN Perak itu mencadangkan agar program anak angkat ini dapat diteruskan dari masa ke masa.

“Saya akui, walaupun pembacaan mengenai budaya sesuatu kaum di Malaysia itu penting, tetapi pengalaman dan perasaan ketika menyertai program itu memang memberi kesan besar dalam diri saya.

“Mungkin pada masa lain, kita boleh anjur program anak angkat bagi sambutan Tahun Baru Cina atau Deepavali. Saya rasa ia bukan sahaja perlu terhad kepada perayaan atau hari tertentu semata-mata malah program sebegini boleh diadakan sepanjang masa.

“Contohnya saya sudah pun mempunyai keluarga angkat Melayu dan teman Melayu boleh mendapat keluarga angkat Cina begitu juga teman daripada keturunan India, Iban dan sebagainya daripada program seperti ini, saya amat yakin bahawa kefahaman, perpaduan dan kerukunan hidup bersama dapat diperkukuhkan,” kata beliau.

Selain Howard, seorang lagi wakil rakyat DAP yang turut serta dalam program anak angkat itu dengan keluarga Islam yang lain ialah Ahli Parlimen DAP Serdang, Dr Ong Kian Ming.