IPOH, 7 DIS: Presiden International Union of Socialist Youth (IUSY), Howard Lee digelar sebagai ‘wira’ oleh Timbalan Canselor Jerman, Sigmar Gabriel ekoran penahanan Adun Pasir Pinji itu semasa perhimpunan aman BERSIH 5 pada 19 November lepas.
Howard yang ditahan reman oleh polis atas ‘dakwaan liar dan tidak berasas’ itu mendapat pengiktirafan berkenaan secara sebulat suara dalam mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Perikatan Progresif yang disertai Gabriel pada Khamis lepas.
“Saya ucapkan terima kasih yang tidak terhingga untuk semangat setiakawan yang ditunjukkan, termasuk gelaran ‘hero’ itu.
“Meski saya berasa malu mengenangkan bagaimana negara kita kebelakangan ini terkenal sebagai bahan ketawa dunia di bawah pemerintahan (Perdana Menteri) (Datuk Seri) Najib Razak,” ujar Howard dalam satu kenyataan, semalam.
Gabriel yang juga Ketua Umum Parti Demokrat Sosial Jerman (SPD) dalam kenyataan yang sama turut membidas dasar kerajaan Malaysia yang disifatkan sebagai menindas berikutan penahanan berkenaan.
“Kami juga telah menyaksikan dasar yang menindas di Malaysia, di mana rakan seperjuangan kita (Howard) telah dipenjarakan.
“Walaupun hanya dua hari sahaja, tetapi ia tetap melampaui batas, hanya kerana beliau menyertai demonstrasi demi menegakkan kebebasan dan hak asasi manusia.
“Howard, saya amat gembira kerana anda bersama kita hari ini. Anda seorang Pahlawan,” ujar orang kedua paling berkuasa di Eropah itu.
SPD merupakan tuan rumah bagi mesyuarat berkenaan yang turut dihadiri lebih 70 pemimpin kanan parti politik, badan pemikir, gabungan kesatuan pekerja peringkat global daripada 45 negara.
Howard yang juga Pengarah Biro Hal-Ehwal Antarabangsa DAPSY berkata, tahanan individu bermotifkan politik dan bertujuan untuk menakut-nakutkan rakyat adalah tidak boleh diterima sama sekali.
“Apa jua tahanan bermotif politik, tidak kira samada dua hari mahupun dua jam pun tidak patut dan tidak boleh diterima sama sekali. Tahanan saya adalah jelasnya satu telatah politik, bagi menakutkan rakyat Malaysia yang sehaluan dan seperjuangan dengan saya.
“Kita seharusnya sedar dan sentiasa ingat, penahanan politik adalah suatu senjata politik yang tidak patut diterima sebagai lumrah perjuangan melawan kuasawan, dan wajib ditentang habis habisan,” katanya.
Katanya lagi, Perlembagaan Malaysia telah menetapkan hak kebebasan rakyat untuk menyuarakan pandangan melalui perhimpunan aman, justeru, menurutnya penahanan bermotifkan politik adalah menghina martabat undang-undang tertinggi negara.
“Kebebasan diri adalah satu hak yang termaktub dalam Perlembagaan persekutuan. Tahanan politik yang menggunakan tuduhan liar dan palsu atas arahan kuasawan bermotif politik, adalah penafian hak tersebut.
“Maka, sesiapa yang melakukan tindakan penindasan sebegitu telah melanggar dan menghina undang-undang tertinggi negara kita,” katanya.